DARO: Projek- projek utama yang dilaksanakan di sini akan mmemberi impak kepada penduduk, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol.
Beliau berkata, antara projek terbabit ialah pembinaan Jambatan Batang Paloh, Dewan Masyarakat Pulau Bruit, Masjid Semop, pasar tani, medan selera dan bangunan kedai.
Sehubungan itu, penduduk harus bersedia dalam menghadapi arus pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan, katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 di Kampung Kut di sini semalam.
Majlis itu dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat ADUN N42 Semop dan Pusat Khidmat P.206 Tanjung Manis.
Abdullah yang juga ADUN Semop berkata, lebih RM9 juta peruntukan telah disalurkan bagi pelaksanaan projek di tiga kampung iaitu Kampung Semop, Kampung Saai dan Kampung Kut, yang kini telah siap dan diserahkan.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab yang turut berucap pada majlis itu merakamkan tahniah kepada pelajar dari Pulau Bruit yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lalu.
Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kebanggaan keluarga dan masyarakat, selain mengingatkan penduduk agar mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menghadapi cabaran ekonomi global semasa.
