GCL minat melabur di Sarawak

KUCHING: Delegasi GCL Group, GCL Energy Technology, dan Global Telecom Group mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak di sini, hari ini.

Kunjungan ini difasilitasi InvestSarawak bagi membincangkan minat pelaburan strategik syarikat di Sarawak yang menumpukan peluang pelaburan dalam penjanaan tenaga dan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam infrastruktur industri dan digital generasi akan datang.

Ini susulan pertemuan Timbalan Premier dengan GCL di Shanghai, China tahun lalu, serta lawatan susulan GCL ke Kuching pada pertengahan Januari 2026.

Ditubuhkan pada 1990, GCL Group merupakan syarikat terkemuka teknologi hijau dan rendah karbon di China, dengan kepentingan dalam tenaga baharu, tenaga bersih, tenaga boleh diperbaharui, bahan maju, dan aplikasi tenaga bersepadu.

Manakala anak syarikat tersenarai mereka, GCL Energy Technology menumpukan kepada penjanaan tenaga bersih, perkhidmatan tenaga bersepadu, penyimpanan tenaga, loji kuasa maya, dan pengurusan karbon.

Sementara itu, Global Telecom Group, yang sudah beroperasi di Sarawak, menyumbang kepakaran dalam infrastruktur digital, termasuk pusat data, penyelesaian awan, dan perkhidmatan sambungan, menyokong pembangunan infrastruktur berasaskan AI di negeri ini.