NGO ‘mata dan telinga’ kerajaan peringkat akar umbi

SIMUNJAN: Kerajaan amat menghargai peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti, khususnya memastikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi diberi perhatian.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, NGO berfungsi sebagai “mata dan telinga” kerajaan yang membantu menyalurkan maklumat serta memahami isu sebenar rakyat di lapangan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Agensi Kerajaan bersama NGO Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan hari ini yang turut dihadiri ADUN Simunjan, Awla Dris.

Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak termasuk 27 reruai daripada agensi kerajaan, NGO serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan menyerikan majlis, di samping pertandingan reruai yang menjadi platform memupuk kreativiti dan semangat berpasukan.

Dalam masa sama, beliau berharap kerjasama erat antara agensi kerajaan dan NGO terus diperkukuh melalui pelaksanaan program berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, Rodiyah turut menyeru semua pihak mengekalkan integriti dan keikhlasan dalam perkhidmatan serta bersama-sama memacu pembangunan Daerah Simunjan.