Minyak mentah Sarawak bernilai tinggi, sesuai industri berteknologi tinggi

KUCHING: Nilai komersial minyak mentah Malaysia, khususnya dari Sarawak, berpotensi dipertingkatkan apabila dimanfaatkan dalam sektor bernilai tinggi berbanding penggunaan domestik konvensional.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh daya saing industri, malah mampu menjana pulangan ekonomi yang lebih mampan dan strategik kepada negeri serta negara.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, kualiti minyak yang dihasilkan dari Sarawak serta beberapa negeri lain seperti Sabah, Terengganu dan Kelantan lebih baik berbanding minyak dari rantau lain yang mempunyai kandungan sulfur lebih tinggi.

Jelasnya, minyak berkualiti tinggi lebih sesuai digunakan dalam industri berteknologi tinggi seperti penerbangan dan jentera berskala besar berbanding kegunaan harian seperti kenderaan biasa.

“Kita tidak memberi ikan empurau yang berharga RM1,500 sekilo untuk dimakan kucing, sebaliknya kita sajikan ikan tersebut untuk majlis-majlis penting.

“Ibarat ikan empurau yang bernilai tinggi, ia tidak digunakan sewenang-wenangnya, tetapi dikhaskan untuk kegunaan istimewa. Begitu juga dengan minyak kita kerana kualitinya yang premium, ia tidak digunakan untuk diesel, motosikal atau bot, sebaliknya untuk sektor yang memerlukan standard lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 di Atrium Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.