Sebuyau bakal miliki loji rawatan air berkapasiti lima juta liter sehari

SEBUYAU: Sebuah loji rawatan air baharu berteknologi sistem akut berkapasiti lima juta liter sehari (MLD) akan dibina di sini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.

Katanya, loji berkenaan sebagai langkah memperkukuh bekalan air di kawasan itu.

Katanya, projek tersebut sudah diluluskan dan kini dalam proses pemilihan kontraktor.

Menurut beliau, loji baharu itu akan bertindak sebagai sistem sokongan kepada kemudahan sedia ada, sekali gus membantu menampung permintaan air yang semakin meningkat.

“Loji di Sebuyau hanya berkapasiti 3.2 MLD manakala di Simunjan pula 5 MLD, namun kedua-duanya masih tidak mencukupi terutama ketika musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program “Berziarah di Desa” sempena Majlis Ramah Tamah Rumah Terbuka Aidilfitri MUT 2026 di sini, hari ini.

Ketika ini, katanya, kawasan Sebuyau menerima bekalan air utama daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang, selain loji sedia ada berkapasiti kecil di Sebuyau dan Simunjan.

Dalam pada itu, ADUN Sebuyau itu memaklumkan bahawa sebuah loji rawatan air berkapasiti 5 MLD di Sebangan yang telah diluluskan sebelum ini kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Julai ini.

Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya memahami peruntukan Ordinan Air Sarawak dan Ordinan Elektrik bagi mengelakkan salah faham serta tidak menuding jari kepada agensi pembekal sekiranya berlaku kerosakan dalam premis masing-masing.

“Tanggungjawab agensi pembekal seperti JBALB, Sarawak Water atau Sarawak Energy adalah sehingga ke meter sahaja. Selepas meter, penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab pemilik atau pengurusan bangunan,” tegasnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Yusri Safri.