SPAOH: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan siri tinjauan tapak beberapa projek bersama Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr. Richard Rapu di beberapa lokasi utama sekitar Spaoh dan Tanjung Sebekut, hari ini.
Antara pengisian utama lawatan itu ialah penyerahan 32 surat kelulusan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membabitkan peruntukan keseluruhan RM5 juta khusus untuk kawasan DUN Bukit Saban.
Dalam masa sama, Uggah turut menerima taklimat mengenai cadangan pembinaan Klinik Spaoh bernilai RM35 juta yang dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek klinik tersebut kini berada pada peringkat tender dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban juga turut melawat Pusat GIATMARA Spaoh yang siap dibina dan dijadual memulakan operasi pada Julai ini dengan menawarkan kursus jahitan serta kemahiran elektrik kepada belia tempatan.
Selain itu, Uggah meninjau kerja naik taraf pejabat BDDA di Spaoh yang dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2026, manakala di Tanjung Sebekut, dua projek sambungan bekalan air dan elektrik bernilai RM6.5 juta diluluskan.
Menurut Uggah, pembangunan Bebuling Agropark seluas 750 hektar yang disertakan dengan kemudahan sokongan seperti Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) dan pusat pemprosesan akan memperkukuh sektor pertanian serta memperluas akses pasaran bagi penduduk tempatan.
