Digitalisasi, ekonomi berasaskan data buka peluang pada koperasi

BINTULU: Gerakkan koperasi mempunyai ruang besar untuk memperkasa ekonomi komuniti di Sarawak.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata ini khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian moden dan perusahaan kecil.

Selain itu katanya, koperasi juga boleh terlibat dalam pembangunan ekonomi Sarawak yang berasaskan data dan digitalisasi.

“Inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa digitalisasi serta pembangunan ekonomi berasaskan data membuka peluang luas kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan penutupan Program Jom@Coop Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi: Jelajah Platinum IKMa 70 Tahun di Hotel Kemena Plaza, di sini, hari ini.

Dr. Ripin berkata, gerakan koperasi kini semakin berkembang sebagai komponen penting dalam ekosistem ekonomi negara dengan lebih 16,000 koperasi berdaftar dan keanggotaan melebihi 7.4 juta orang.