Latihan kemahiran mampu jana pendapatan lumayan lepasan SPM

LAWAS: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih mempunyai peluang cerah untuk menjana pendapatan lumayan melalui latihan kemahiran.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ibu bapa memainkan peranan penting memastikan anak-anak tidak terbiar tanpa hala tuju selepas menamatkan persekolahan.

“Latihan yang ditawarkan menerusi institusi kemahiran seperti Centexs dan GiatMARA mampu melahirkan tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi.

“Ada dalam kalangan lepasan SPM yang hanya mengikuti kursus selama enam bulan, kini berjaya bekerja dengan syarikat besar dengan pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

“Di Ulu Merapok, ramai anak tempatan membuktikan kejayaan melalui laluan ini,” katanya pada Majlis Berdudun Aidilfitri Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pemukat, Kuala Lawas, hari ini.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak komited memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Datuk Pengiran Jawa; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Lawas, Faridah Tair; serta Pengerusi Pengelola, Ketua Kampung Jofferi Bakir.