Buku biografi Laila Taib dilancar

KUCHING: Biografi kehidupan secara sederhana dan legasi Allahyarhamah Datuk Amar Laila Taib kini boleh ditatapkan dalam sebuah buku hasil karya seorang penulis terkemuka, Christina Thomas Mamora.

Anak-anak Allahyarhamah iaitu Dato Mahmud Bekir Taib, Hamidah Jamilah dan Datuk Hanifah Hajar, secara serentak melancarkan buku berkenaan ‘Laila Taib – Her Journey of Love and Compassion’ pada satu majlis di Pustaka Negeri di sini hari ini.

Buku seteblah 272 muka surat itu menceritakan kisah kekuatan, ketekunan dan legasi Laila Taib dalam mengharungi kehidupan sejak kecil di negara kelahirannya, Poland kemudian di Australia dan di Sarawak.

Laila Taib menempuhi cabaran kehidupan semasa perang dunia kedua di Poland, menetap di Austarila dan membesar empat orang anak apabila berkahwin dengan Allahyarham Tun Pehin Sri Taib Mahmud di Sarawak.

Sebagai seorang isteri ahli politik sepenuh masa, Laila Taib tidak terlepas daripada menempuhi pelbagai rintangan hidup terutama dalam membesarkan empat orang anak dan meluangkan masa bersama-sama suami.

Beliau berjaya menempuhi rintangan itu dan sepanjang hayatnya bersama Taib, Laila banyak menghabiskan masanya terlbat dalam program kebajikan, menyantuni anak-anak kurang bernasib baik dan dalam badan bukan kerajaan.