Kerja-kerja naik taraf paip giat dilaksana, tangani gangguan bekalan air

SIMANGGANG: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUTS) Sarawak sedang giat menaik taraf kapasiti loji rawatan air sedia ada serta membina loji baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin menngkat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, di samping itu kerja-kerja penggantian paip sepanjang 2,740 kilometer (km) juga sedang giat dilaksanakan bagi mengatasi masalah kebocoran dan gangguan bekalan.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM7 bilion bagi memastikan liputan bekalan air bersih dan terawat lebih stabil serta menyeluruh, katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman di sini, semalam.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi dana khas RM4 bilion untuk projek bekalan air dan RM1.1 bilion bagi penggantian paip lama yang uzur.

Menurut beliau, tambahan peruntukan turut disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13 bagi menyokong pelaksanaan projek secara berfasa di seluruh negeri.

Jurang ketara antara kawasan bandar yang melebihi 90 peratus dan luar bandar sekitar 71 peratus, katanya, juga perlu dirapatkan melalui pembangunan sistem grid air yang lebih efisien.

Di Bahagian Sri Aman, beliau berkata, pembinaan Loji Rawatan Air baharu di Engkilili berkapasiti 75 juta liter sehari kini bermula bagi menampung keperluan yang tidak lagi mencukupi daripada Loji Rawatan Air Bayai.

Selain itu, sistem grid air wilayah akan dilaksanakan menghubungkan Sri Aman dengan kawasan Lingga, Pantu dan Betong, bagi memastikan bekalan lebih mampan dan berterusan, tegas beliau.

Julaihi berkata, integrasi sistem ini turut melibatkan kerja menaik taraf Loji Rawatan Batu Kitang di Kuching kepada 968 juta liter sehari, memberi manfaat kepada wilayah selatan termasuk Samarahan dan Serian.

Bagi kawasan pedalaman tanpa akses jalan raya, kerajaan terus melaksanakan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) menggunakan sistem kendiri agar tiada penduduk tercicir, tegas beliau.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.