KUCHING: Seramai 40 pelajar Universiti Swinburne di sini hari ini mengadakan lawatan ke TEGAS Digital Village (TDV) untuk melihat secara dekat bagaimana ekosistem inovasi di Sarawak berkembang serta meneroka peluang kolaborasi antara sektor akademik dan industri.
Kunjungan dan kolaborasi itu akan memperkukuh kedudukan TDV sebagai destinasi utama dan pusat inovasi digital dan sebagai pemangkin modal insan di Sarawak.
Para pelajar yang menyertai lawatan ke TDV itu adalah dari Swinburne Foundation Studies (Engineering, Science and Information Technology/Multimedia) dan Swinburne Foundation Studies (Business, Design and Communication).
Dalam rangka lawatan tersebut, rombongan turut diberi taklimat eksklusif oleh empat penyewa dan alumni TEGAS yang berkongsi pengalaman serta perjalanan mereka dalam membangunkan teknologi dan kerjaya mereka.
Antaranya ialah Teduh Jiwa, The Culture Capital, Ctrl D Studio dan Stinablis.
Sesi perkongsian itu memberi pendedahan dunia kerjaya serta platform untuk bertukar idea mengenai pembangunan bakat dan persediaan graduan universiti dalam menghadapi kehendak ekonomi digital yang bergerak pantas.
