DARO: Usaha memperkasa budaya ilmu dalam kalangan masyarakat terus dipergiat melalui Program Bicara Ilmu Malaysia MADANI Tahun 2026/1447H berlangsung di Masjid Darul Ihsan, Kampung Lemang Pek, di sini semalam.
Program tersebut dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Program tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan ilmu sebagai teras membentuk masyarakat harmoni, berdaya saing dan berakhlak.
Ceramah mengenai ‘Budaya Ilmu Asas Hidup Bermasyarakat’ disampaikan Ustaz Azizan Ajiji dari Jabatan Agama Islam Daerah Daro.
Ahmad Johnie ketika berucap berkata, pengisian berteraskan ilmu bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman agama, malah membentuk masyarakat yang berfikiran matang, saling menghormati dan sentiasa berusaha memperbaiki diri demi kesejahteraan bersama.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk agar terus mengimarahkan institusi masjid melalui pelbagai aktiviti keilmuan seumpamanya, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir Penolong Pengarah JAKIM Sarawak Ustaz Muhammad Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Daro Ustaz Anas Sarip, Penghulu Jebeli Ngok, Penghulu Bahiri Selakong, Ketua Kampung Sarkawi Madi, serta Pengerusi Masjid Darul Ihsan, Kpg Lemang Pek Shahip Wahid.
