MUKAH: Perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama menjadi kekuatan utama yang menyumbang kepada kestabilan serta keharmonian Sarawak.
Tegas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, kekuatan tersebut perlu terus dipelihara dan diperkasakan khususnya dalam kalangan belia sebagai generasi pewaris negeri.
Katanya, golongan belia memainkan peranan penting dalam memastikan Sarawak kekal sebagai negeri yang maju, aman dan harmoni.
“Golongan belia hari ini adalah generasi yang akan meneruskan legasi perpaduan ini, sekali gus mencorakkan masa depan Sarawak agar kekal indah dalam kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hi-Tea sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Balingian dan Tellian bagi sesi 2026-2029 di Hotel Kingwood Mukah, di sini, semalam.
Hadir sama ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menekankan perubahan landskap generasi muda masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi serta capaian maklumat tanpa sempadan.
Beliau turut memuji kepimpinan Kerajaan Sarawak yang proaktif dalam merangka pelbagai agenda pembangunan, khususnya dalam sektor ekonomi.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan pemberian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 masing-masing kepada SABERKAS Cawangan Balingian dan Tellian.
