KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dengan kepimpinan berwawasan dan rakyat hidup harmoni, Sarawak mampu berkembang sebagai sebuah wilayah moden dan makmur.
Beliau berkata kestabilan politik dan keharmonian kaum yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan antara kekuatan utama negeri ini.
“Kestabilan poltik, pentadbiran yang baik dan masyarakat yang hidup aman, damai dan harmoni akan menjadi tumpuan pelabur, pemain dan pelaku ekonomi antarabangsa,” katanya semasa merasmikan mesyuarat pertama bagi penggal kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) ke-19 di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Negeri berkata, kejayaan Sarawak dalam menerokai industri berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, tenaga hijau dan ekonomi digital, bukan sahaja bergantung kepada dasar kerajaan tetapi juga kepada keupayaan melahirkan para profesional dan guna tenaga berkemahiran tinggi.
Dengan itu, katanya, Kementerian Pendidikan, institusi pengajian tinggi dan TVET harus menjadi alat penggerak untuk mencapai matlamat kerajaan.
Dengan pendidikan dan latihan yang mencukupi dan terperinci, beliau percaya, anak Sarawak berupaya menandingi kepakaran, kemahiran dan kebolehan mereka dari luar negara.
Menurut beliau, tempoh beberapa tahun yang berbaki sebelum tahun 2030, perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala dasar dan perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyat.
Penekanan perlu terus diberikan kepada pembangunan industri bernilai tinggi, transformasi digital, tenaga bersih, ekonomi hijau dan pembangunan modal insan bagi memperkukuh daya saing dan daya tahan ekonomi Sarawak, katanya.
Dalam hubungan ini, tambahnya, tindakan dan penyelarasan yang lebih cekap dan teratur antara kementerian dan agensi amat penting supaya setiap inisiatif dapat direalisasikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kejayaan lawatan kerja ke United Kingdom dan Ireland baru-baru ini.
“Lawatan ini membuka peluang pembangunan ekonomi baharu, kerjasama strategik dalam bidang teknologi tinggi, pelaburan masa hadapan, ekonomi digital dan pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau berkata, ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus menerokai sektor bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekosistem ekonomi dan teknologi global.
Sarawak, katanya, perlu memperkasa dan mempertingkatkan momentum kekuatan dalam pengiktirafan yang dimiliki untuk muncul sebagai hab tenaga bersih yang boleh dbaharui bagi menarik lebih ramai lagi minat dan pelaburan daripada pelabur di peringkat serantau dan antarabangsa.
