Pembenihan awan di kawasan sasaran bermula 11-12 Mei ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Megara (NADMA), Jabatan Metorologi (MET), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan melaksanakan operasi pembenihan awam di kawasan tadahan empangan utama di negeri ini pada 11 hingga 12 Mei ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu melibatkan kawasan sasaran di Empangan Batang Air (Lubok Antu), Empangan Bakun dan Empangan Murum (Belaga) dengan pangkalan udara TUDM Kuching sebagai pusat operasi dan koordinasi penerbang.

Operasi pembenihan awan itu merupakan langkah intervensi cuaca bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama, seterusnya menyokong kestabilan paras air empangan yang kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air di Sarawak, katanya dalam kenyataan di sini.

“Antara objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan sasaran, menyokong kestabilan paras air empangan strategik, mengurangkan risiko kekurangan bekalan air mentah, serta memperkukuh usaha mitigasi kesan cuaca kering dan fenomena El Niño,” katanya.

Beliau berkata, operasi akan dilaksanakan melalui penerbangan pesawat di altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki di kawasan awan berpotensi hujan, dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang sesuai.

Pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera akan dijalankan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan operasi, tambahnya.

Beliau berkata, operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan keselamatan dan kelangsungan sumber air di Sarawak, khususnya bagi menyokong keperluan penjanaan tenaga, bekalan air serta kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca yang semakin tidak menentu,” katanya.

Operasi pembenihan awan, katanya, lazimnya dilaksanakan berdasarkan keperluan dan penilaian teknikal tertentu, antaranya semasa berlakunya keadaan jerebu bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan memperbaiki kualiti udara, atau ketika paras air empangan dan takungan utama berada pada boleh menjejaskan bekalan air dan penjanaan tenaga.

Pelaksanaan operasi ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya bergantung kepada kajian meteorologi, keadaan atmosfera serta kewujudan sistem awan yang sesuai bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan operasi, tegas beliau.