Isu vape: Sarawak fokus perkukuhkan kesedaran awal

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan mengharamkan penjualan dan penggunaan vape serta produk itu pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagaimanapun kerajaan percaya kesedaran dan kesediaan masyarakat serta pencegahan berkaitan bahaya vape dan produknya hendaklah diperkukuhkan terlebih dahalu.

“Langkah ini bagi memastikan sebarang dasar pada masa hadapan termasuk pengharaman sepenuhnya vape dan produknya dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mendapat sokongan masyarakat,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek yang bertanya adakah Kerajaan Sarawak merancang mengharamkan sepenuhnya vape dan produknya serta langkah pencegahan menangani vape dalam kalangan belia.

Menurut Fatimah, kerajaan akan terus memantau keadaan berdasarkan kebimbangan bahayanya terhadap kesihatan, keberkesanan penguatkuasaan dan penerimaan rakyat terutama generasi muda.

Kerajaan, katanya, mengakui penggunaan vape terutama belia menimbulkan kebimbangan terutama berkaitan salah guna dadah dan produk tiruan.