SIBURAN: Seramai 874,878 rakyat Sarawak menerima manfaat daripada penyaluran kedua Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang bermula hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan, khususnya oleh masyarakat Dayak, untuk membeli barangan keperluan sempena sambutan Gawai.
Jumlah bantuan itu kata Premier, turut ditingkatkan pada penyaluran kali ini, antaranya daripada RM950 kepada RM1,100 bagi isi rumah.
“Penerima akan menerima lebih RM400 dalam fasa kedua ini, manakala baki akan disalurkan pada November depan.
“Kita menyalurkan bantuan ini pada 15 haribulan bagi membantu masyarakat, khususnya kaum Dayak yang akan menyambut Gawai Dayak,” katanya.
Tambah beliau, bantuan tersebut diharap dapat membantu rakyat membeli barangan dapur asas seperti beras dan minyak masak.
“Objektif kita ialah memastikan dapur rakyat sentiasa berasap, supaya mereka dapat membeli keperluan asas,” katanya.
Dalam sesi walkabout itu, beliau turut berjumpa seorang penerima berusia 81 tahun yang menggunakan SKAS untuk membeli barangan bernilai RM50, dengan baki simpanan untuk kegunaan bulan seterusnya.
Sementara itu, penyaluran kedua SKAS melibatkan 857,814 penerima sedia ada serta tambahan 17,064 penerima baharu yang dikenal pasti melalui senarai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Kedua Tahun 2026.
Penyaluran ini turut melibatkan pasangan kepada Ketua Isi Rumah yang bukan Anak Sarawak, namun pasangan mereka adalah Anak Sarawak dan memiliki Kad Pengenalan berstatus “K”.
Dalam keadaan tersebut, pasangan berstatus “K” itu layak sebagai penerima SKAS.
Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan penerima SKAS meningkat kepada 874,878 orang.
Secara keseluruhan, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM680 juta bagi pelaksanaan SKAS 2026, iaitu peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding peruntukan asal, bagi membantu golongan yang memerlukan menghadapi peningkatan kos sara hidup.
