KUCHING: Isu projek utiliti seperti jalan kampung, bekalan air, elektrik dan kemudahan kesihatan antara dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau mengutarakan kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Simpang Sagan ke Ulu Lubai yang diluluskan, termasuk jajaran Jalan Nanga Medamit/Kampung Pulau Brunei hingga ke Jalan Kampung Kuala Medalam di bawah projek Jalan Perhubungan Sabah-Sarawak (SSLR) Fasa Kedua.
Selain itu, beliau memohon menaik taraf beberapa jalan perhubungan desa, antaranya di Kampung Tanjung Ungar, Bambangan/Braong, Tubai Baru, Ukong dan Sungai Lumbang di Ulu Limbang.
Bagi bekalan air, Paulus meminta gangguan air terawat di kawasan Tedungan diselesaikan serta mencadangkan pembinaan loji rawatan air berasingan bagi kawasan Nanga Medamit hingga ke Ulu Medamit yang melibatkan komuniti Iban dan Penan.
Dalam aspek elektrik, beliau berkata masih terdapat 278 permohonan penyambungan di bawah skim ALAF yang belum diluluskan sejak 2024 akibat kekurangan peruntukan, dan memohon tambahan dana kepada Sesco Limbang.
Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf kemudahan kesihatan termasuk pembinaan Klinik Long Napit yang masih tertangguh, serta menggantikan Klinik Nanga Merit, Nanga Medamit dan Penganan yang uzur.
Selain itu, beliau menggesa supaya Hospital Limbang dinaik taraf segera dengan penambahan doktor pakar bagi mengurangkan kebergantungan pesakit kepada hospital di Miri, Kota Kinabalu dan Kuching.
Mengakhiri perbahasan, beliau meminta penjelasan mengenai status projek Jambatan Sungai Enseriban di Medamit dan Jambatan Sungai Semena di Ulu Limbang.
