KUCHING: Kadar pengangguran pada suku ketiga 2025 di Sarawak ialah 3.1 peratus berdasarkan angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, kadar pengangguran berdasarkan angka daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak ialah 3.0 peratus pada 2025.
“Kedua-dua angka itu berasaskan umur penduduk boleh bekerja iaitu berusia 15 hingga 64 tahun,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Oleh kerana kategori belia di Sarawak adalah dalam lingkungan 15-40 tahun, beliau berkata, angka itu menunjukkan penambahbaikan dalam kalangan belia yang mendapat pekerjaan.
Angka berkenaan, tambahnya, menunjukkan tentang keperluan untuk terus mengadakan intervensi sasaran bagi menjamin golongan belia dilengkapi sebaik mungkin bagi memenuhi permintaan pasaran kerja sedia ada.
Sehubungan itu, katanya, kementerian memberi keutamaan mengukuhkan TVET dan STEM untuk melengkapkan belia dengan kemahiran berkaitan sejajar dengan permintaan pasaran sekarang.
Ripin berkata, kementerian turut berkolaborasi dengan agensi berkaitan dan PERKESO melalui platform seperti sistem e-Recruitment dan MYFutureJobs untuk meningkatkan padanan dan peluang penempatan kerja.
Usaha itu, katanya, disepadukan dengan program pendedahan yang menyediakan peluang langsung kepada golongan belia mendapat pekerjaan.
Dalam program Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Bintulu, katanya, sejumlah 56 daripada penyertaan ditawarkan pekerjaan di situ juga manakala 48 lagi pada peringkat kedua temuduga, katanya.
