KUCHING: Pelbagai isu pembangunan dan keperluan asas rakyat di kawasan pesisir menjadi tumpuan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, membangkitkannya dalam Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Masalah liputan internet yang masih lemah dan tidak stabil di beberapa kawasan perlu diberi perhatian serius, katanya.
“Ini kerana kemudahan itu menjadi keperluan asas yang menyokong pendidikan, ekonomi, komunikasi serta urusan harian rakyat secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penghargaan Yang di-Pertua Negeri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Razaili turut melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan Projek Bekalan Air Bersih Kampung Batang Maro yang masih belum siap walaupun dimulakan sejak 2021 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Isu bekalan air turut menghimpit penduduk di Pusa dan Beladin apabila mereka sering berdepan tekanan air rendah serta keadaan air yang keruh, khususnya pada musim panas dan perayaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan segera diambil termasuk pembinaan tangki air aras tinggi serta menaik taraf Loji Rawatan Air Pusa kepada kapasiti 15 juta liter sehari.
Dalam sektor pembangunan tanah pula, Razaili melahirkan rasa tidak puas hati peserta projek ladang sawit LCDA/Tabung Haji yang didakwa tidak menerima dividen seperti dijanjikan walaupun projek tersebut telah beroperasi lebih dua dekad.
Katanya, bayaran sekitar RM60 sehektar sebulan jelas tidak setimpal dengan hasil sebenar yang sepatutnya diperoleh.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pengambilalihan Projek Ladang Sawit Pelita-TH di DUN Beting Maro.
Selain itu, beliau menyarankan agar meneliti kemungkinan menyerahkan semula tanah kepada kerajaan atau pemilik asal untuk diusahakan sendiri demi manfaat penduduk tempatan.
Selain itu, kemudahan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Beladin yang bernilai lebih RM20 juta sudah siap tetapi masih belum beroperasi turut mendapat perhatian beliau.
Dalam aspek perumahan, beliau memaklumkan enam Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan tiga projek perumahan yang diluluskan sejak 2011 masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru, beliau merayu agar peruntukan disalurkan di bawah RMK-13 bagi membantu rakyat, khususnya golongan muda, memiliki kediaman sendiri.
