Industri perkayuan, buluh Sarawak catat keupayaan daya saing peringkat antarabangsa

KUCHING: Catatan rekod eksport kayu pelet sebagai produk bernilai tambah mencatat peningkatan 3.3 peratus kepada RM21.4 juta berbanding RM20.7 juta pada 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri perkayuan Sarawak turut merekodkan penurunan nilai eksport sebanyak 10 peratus pada suku pertama 2026 kepada RM564 juta berbanding RM624 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Penurunan ini berkait rapat dengan penyusutan permintaan pasaran global yang memberi kesan kepada prestasi eksport industri perkayuan.

“Jepun kekal sebagai pengimport utama produk perkayuan Sarawak dengan nilai RM298 juta, diikuti India RM106 juta, negara Timur Tengah RM70 juta dan Filipina RM23 juta.

“Antara produk dieksport termasuk papan lapis, balak, papan gentian, kayu gergaji, kayu racik serta kayu pelet,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua mendedahkan, Kerajaan Sarawak meluluskan tapak seluas 50 hektar di Demak Laut untuk pembangunan Taman Industri Perabot bernilai RM233 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Projek tersebut kini berada pada peringkat penyediaan pelan pembangunan.

Sementara itu, industri buluh Sarawak dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai sesuai dengan laporan Bamboo Global Market Report 2025 dengan nilai pasaran dijangka mencecah USD118 billion menjelang tahun 2034.

Sehubungan iti seluas 5,109 hektar kawasan ditanam dengan buluh oleh komuniti dan entiti komersil.

PUSAKA katanya, membangunkan tiga tapak semaian di Sabal, Tanjung Manis dan Kuala Baram dengan keupayaan mengeluarkan sebanyak 450,000 anak benih buluh setahun bagi menyokong perkembangan industri buluh di Sarawak.