PPRS 2026: 217 rumah baharu dibina, 721 dibaik pulih

KUCHING: Impian ratusan keluarga luar bandar di negeri ini untuk memiliki kediaman lebih selesa terus mendapat perhatian apabila kerajaan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Fasa Satu tahun 2026 membabitkan peruntukan RM32.8 juta.

Peruntukan itu melibatkan pembinaan 217 unit rumah baharu selain kerja membaik pulih 721 rumah daif di seluruh negeri, sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar dan memastikan mereka menikmati kehidupan berkualiti.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia melalui beberapa inisiatif pembangunan sosioekonomi termasuk Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Projek Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam sambil menegaskan usaha menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat luar bandar akan terus diperkasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM33 juta turut diluluskan bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Lawas, Sebuyau, Betong dan Samarahan, dengan projek berkenaan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).