KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg disifatkan sebagai ‘Bapa Transformasi Sarawak’ atas kepimpinan beliau membawa negeri itu melalui era transformasi terbesar dalam sejarah moden Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pelbagai pandangan, cadangan dan kebimbangan yang dibangkitkan sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuktikan bahawa kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Katanya, di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini bukan lagi hanya memberi tumpuan kepada pembangunan asas semata-mata, sebaliknya mula meneroka ekonomi masa depan yang kini mendapat perhatian dunia.
Beliau berkata, kestabilan politik, keberanian membuat keputusan serta perancangan jangka panjang menjadi faktor utama Sarawak mampu terus kukuh berdepan ketidaktentuan ekonomi global, perang perdagangan dan peningkatan kos sara hidup.
Tambah beliau, peningkatan hasil negeri membolehkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai pembangunan menggunakan dana Sarawak sendiri termasuk pembinaan jambatan, pendidikan percuma dan peluasan utiliti demi manfaat rakyat.
Malah, ada antaranya melibatkan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, katanya.
Dayang Noorazah berkata demikian ketika menyampaikan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Beliau menegaskan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama kekal menjadi asas kekuatan, kestabilan dan pembangunan Sarawak.
