KUCHING: Kerajaan Sarawak mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sah melalui pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu sejak Oktober 2010.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sehingga 30 April 2026, seluas kira-kira 1.23 juta hektar tanah NCR berjaya diukur secara perimeter menerusi program berkenaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 966,440 hektar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Kerja-kerja pengukuran ini dilaksanakan berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Awang Tengah memberitahu, sejak 2017 pengukuran turut memberi tumpuan kepada lot individu bagi tujuan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak untuk kawasan yang telah diwartakan berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut.
“Sehingga 30 April lalu, sebanyak 110,815 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 132,414 hektar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR, penuntut tanah perlu hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah dengan jelas serta mengelakkan pertikaian tuntutan.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memastikan kelangsungan program itu dengan menyediakan dana yang diperlukan selain dana diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
