KUCHING: Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH) bakal kembali mewarnai sambutan tahun baharu Islam di negeri ini, berlangsung selama 10 hari mulai 12 hingga 21 Jun depan di Dewan Serbaguna Taman Sukma.
Penganjuran festival tahunan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) itu bukan sahaja mengetengahkan penghayatan semangat penghijrahan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama menerusi pendekatan yang lebih santai serta mesra komuniti.
Sepanjang festival berlangsung, orang ramai akan disajikan dengan pelbagai pengisian kerohanian dan program kemasyarakatan termasuk Majlis Kesyukuran Doa Akhir dan Awal Tahun, Pertandingan Tilawah al-Quran, Pertandingan Berzanji dan Marhaban serta Malam Cinta Rasul yang menjadi antara acara utama.
Tidak terhad kepada aktiviti keagamaan semata-mata, festival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti riadah dan santai seperti badminton, pickleball, e-sukan serta program berorientasikan keluarga bagi menarik penyertaan golongan belia, kanak-kanak dan masyarakat umum.
Dalam usaha memperkasa ekonomi komuniti setempat, festival itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing menerusi penyediaan reruai jualan sepanjang acara berlangsung.
Festival berkenaan mendapat kerjasama strategik daripada Majlis Islam Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala majlis penutupan pada 21 Jun nanti dijangka lebih meriah dengan cabutan bertuah menawarkan hadiah utama termasuk pakej umrah dan dua motosikal kepada pengunjung bertuah.
