Peruntukan RM101.4 juta Bantuan Kewangan Bulanan di Sarawak

KUCHING: Seramai 56,585 penerima golongan rentan mendapat manfaat Bantuan Kewangan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negeri ini sehingga 30 April lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini melibatkan peruntukan sebanyak RM101.4 juta.

“Bantuan ini disalurkan terus kepada penerima bagi meringankan beban sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kerajaan turut menyediakan Bantuan Kesihatan Bersasar bagi golongan rentan dalam bentuk Bantuan Pesakit Buah Pinggang kepada 334 penerima sehingga 30 April lalu.

“Ini membabitkan kos perbelanjaan RM7.53 juta,” tambahnya.

Selain itu katanya, Bantuan Perubatan kepada 59 penerima dengan kos perbelanjaan berjumlah RM850,000 dan Bantuan Alat Tiruan/Sokongan kepada 47 penerima berjumlah RM130,000.

“Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan inisiatif kesihatan bersasar dengan menambah baik manfaat Bantuan Perubatan melalui pembiayaan pengimejan Positron Emission Tomography (PET Scan),” jelasnya.

Fatimah berkata, PET Scan membolehkan pesakit mengakses teknologi diagnostik kanser.