KUCHING: Dua projek hospital utama di Sarawak iaitu Hospital Petra Jaya dan Hospital Lawas Baharu kini di peringkat akhir pelaksanaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia dijangka mula menerima operasi secara berperingkat dalam masa terdekat.
Hospital Petra Jaya katanya mencapai kemajuan fizikal sebanyak 91.55 peratus setakat 25 April lalu, sekali gus menunjukkan projek berkenaan hampir memasuki fasa penyiapan sepenuhnya.
“Kerja pembinaan ketika ini sedang memberi tumpuan kepada kemasan dalaman bangunan bagi membolehkan pemasangan peralatan perubatan dilakukan sebelum proses penyerahan projek dilaksanakan.
“Selepas penyerahan dibuat, hospital ini akan mula beroperasi secara berfasa,” katanya menggulung bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Menurut beliau, projek Hospital Petra Jaya turut diberikan lanjutan masa kali kelima dengan tarikh siap baharu ditetapkan pada 14 Julai 2026.
Sementara itu katanya, Hospital Lawas Baharu mencatat kemajuan hampir siap apabila mencapai 97.39 peratus setakat 20 April lalu.
Hospital itu katanya dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi pada Disember tahun ini.
