Perhimpunan Agung, Konvensyen FEIAP 2-4 September ini

KUCHING: Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) akan berlangsung di sini mulai 2 hingga 4 September ini.

Perhimpunan itu bakal menjadi penganjuran terbesar dalam sejarah 48 tahun penubuhan badan kejuruteraan berkenaan.

Presiden FEIAP, Ir Yau Chau Fong berkata, program yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu dijangka menghimpunkan antara 180 hingga 200 delegasi antarabangsa dari lebih 25 negara, selain 500 hingga 600 delegasi tempatan.

Menurutnya, delegasi antarabangsa yang bakal hadir terdiri daripada wakil negara Asia Tenggara, Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan.

“Perhimpunan Agung dan konvensyen ini akan menjadi penganjuran terbesar yang pernah diadakan oleh FEIAP sepanjang tempoh 48 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Menurut beliau, Premier Sarawak dijangka menyempurnakan majlis perasmian pada 3 September, selain menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi ‘fireside chat’ berkaitan kejuruteraan di rantau Asia Pasifik.

Sesi berkenaan akan dikendalikan oleh Pengerusi Lembaga Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Tan Sri Dato Seri Ir Profesor Emeritus Dr Chuah Hean Teik selaku moderator.

Turut diadakan ialah Kongres dan Pameran Kejuruteraan Dunia yang julung kali dianjurkan, dengan tumpuan kepada empat bidang utama iaitu infrastruktur kejuruteraan, tenaga kejuruteraan, iklim dan kepimpinan kejuruteraan.

Penganjuran berkenaan dijangka memperluas jaringan profesional serta kerjasama dalam kalangan komuniti kejuruteraan antarabangsa, selain membuka ruang perkongsian kepakaran dan pengalaman berkaitan pembangunan Sarawak dan Malaysia.