KUCHING: Sarawak sekali lagi menyuarakan kebimbangan berhubung status cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum dibentangkan di Parlimen sehingga kini.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu sepatutnya tidak lagi menjadi polemik memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pertambahan kerusi kepada 99 kerusi pada Julai tahun lalu.
Menurut beliau, Sarawak hanya menuntut kelulusan di peringkat Parlimen bagi membolehkan 17 kerusi baharu itu digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
‘’Walaupun beberapa sesi Parlimen telah berlangsung sejak tahun lalu, perkara tersebut masih belum dimuktamadkan, sekali gus menimbulkan rasa kecewa kerana suara Sarawak seolah-olah tidak diberi perhatian sewajarnya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Breaking News Run 2.0 Night Edition selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, isu yang dibawa Sarawak hanya melibatkan pertambahan kerusi DUN dan bukannya kerusi Parlimen.
Namun katanya, masih terdapat pihak yang didakwa gagal memahami perkara sebenar sehingga menimbulkan kekeliruan serta memainkan sentimen politik.
‘’Urusan berkaitan kerusi Parlimen perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen serta melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala jumlah kerusi Parlimen kekal sebanyak 31 setakat ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dibenarkan mengikut Perlembagaan Persekutuan setiap lapan tahun, namun tempoh tersebut sudah melepasi had yang ditetapkan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu berkenaan tidak akan memberi kesan besar kepada landskap politik Sarawak, malah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap yakin mampu memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya akan datang, selain menekankan bahawa pertambahan kerusi itu penting bagi memastikan kawasan yang terlalu luas dapat dipecahkan demi kebajikan rakyat.
