Sarawak suntik dana RM22.45 juta untuk acara, 121 permohonan SMM2H dilulus hingga April

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak meluluskan dana sebanyak RM22.45 juta untuk menyokong 137 acara dan program dari Januari hingga April 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini termasuk, RM21.1 juta diluluskan untuk menyokong 109 acara dan perayaan melalui dana Geran Sokongan Acara dan Pesta.

“Selain itu, RM1.35 juta diluluskan di bawah Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak untuk menyokong 28 program berkaitan seni, budaya dan warisan yang dianjurkan oleh persatuan, NGO, sekolah, institut pengajian tinggi dan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, kementerian terbabit juga meluluskan sebanyak RM290,000 untuk menyokong cadangan penyelidikan bawah Geran Sokongan Kajian dan Penyelidikan Pelancongan, Warisan dan Kesenian Sarawak.

Selain itu, beliau berkata pihaknya telah merekodkan sejumlah 2,191 permohonan Program Rumah Keduaku Sarawak-Malaysia (SMM2H) dari 2020 sehingga April 2026.

“Pencapaian ini jauh melebihi 1,240 permohonan diluluskan antara 2007 dan 2019, sebelum program itu diserahkan kepada pentadbiran kementerian,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, dari Januari hingga April tahun ini, pihaknya meluluskan 121 permohonan terdiri daripada 217 peserta dengan pemohon tertinggi berasal dari China (48), diikuti oleh Amerika Syarikat (15), United Kingdom (sembilan), Singapura (lapan), dan Taiwan (tujuh).

Menurutnya, program ini telah menyumbang kepada hasil Sarawak dengan menjana RM605,000 daripada yuran pemprosesan, dengan peletakan deposit tetap berjumlah RM60.5 juta.