KUCHING: Sarawak menerusi SMD Semiconductor terus memacu pembangunan industri teknologi bernilai tinggi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Singapore Linyang Energy Technology Pte. Ltd. dan Photovoltaic Foundry Pte. Ltd.
Pemeteraian kerjasama itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Pertukaran MoU berkenaan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor, Shariman Jamil bersama dengan CEO Photovoltaic Foundry Pte. Ltd., Liong Hang Cek dan Pengurus Besar Linyang Group Yuan Hairong.
Setiausaha Kewangan Sarawak yang juga Pengerusi SMD Semiconductor Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dalam sidang media selepas majlis itu berkata, kerjasama strategik itu menjadi langkah penting dalam mempercepatkan pembangunan teknologi semikonduktor tempatan ke arah aplikasi komersial dan industri.
Menurutnya, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan cip semikonduktor bagi teknologi inverter solar generasi baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), meter pintar serta sistem infrastruktur pintar.
Wan Lizozman menambah, kerjasama tersebut turut menyokong agenda Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau serantau melalui pembangunan projek solar berskala besar dan solar bumbung.
Beliau memaklumkan bahawa Premier Sarawak berharap kerjasama strategik tersebut dapat diperluaskan ke lebih banyak bidang teknologi dan industri pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.
