Majlis Hadis dan Isnad Al-Muwatta berlangsung 1- 5 September ini

KUCHING: Seramai 850 peserta tempatan dan antarabangsa bakal berhimpun di Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menyertai Majlis Hadis dan Isnad Al-Muwatta.

Pengerusi Pengelola Majlis Hadis, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata, majlis dijadual berlangsung selama lima hari, bermula 1 hingga 5 September ini.

Program keilmuan Islam berskala besar ini katanya, julung kali diadakan di negeri ini.

“Program ini dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen P.194 Petra Jaya bersama beberapa rakan strategik yang lain.

“Penganjuran berjaya menarik penyertaan meluas, membabitkan lebih 60 peserta dari luar negara yang telah mendaftar secara dalam talian,” katanya semasa sidang media berkenaan program tersebut di bilik kuliah Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Jelasnya, antara negara yang terlibat termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, India, Australia, Maghribi, Tunisia, Syria, Mauritius dan United Kingdom.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, katanya, seramai 350 peserta hadir menerusi jemputan khas membabitkan institusi tahfiz, maktab dan agensi kerajaan di seluruh Sarawak.

Sementara itu, 500 lagi merupakan peserta yang mendaftar secara dalam talian, ujarnya.

“Pendaftaran secara terus masih dibuka kepada orang awam yang ingin mengikuti majlis berkenaan secara fizikal.

“Penganjuran memberi tumpuan kepada pembacaan dan pengajian kitab hadis tersohor Al-Muwatta karya Imam Malik Ibnu Anas, yang merangkumi lebih 2,870 hadis,” katanya.

Pengajian tersebut dibimbing secara langsung oleh tokoh ulama hadis terkemuka dunia, Al-Syeikh Al-Musnid Muhammad Abul Huda Al-Yaqoubi, katanya.

Ujarnya lagi, kemuncak program lima hari tersebut adalah majlis Khatamal untuk bacaan Hadis dan Isnad al – Muwatta yang akan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Tambahnya, dalam majlis penutup juga, turut dilakukan sesi akhir pengajian, pentashihan dan penganugerahan ijazah kepada peserta.

“Kita harap program ini menjadi wadah untuk menyuburkan kembali kecintaan terhadap ilmu hadis, menghidupkan tradisi pengajian sanad dalam kalangan generasi kini,”katanya.

Antara rakan strategik adalah Majlis Bukhari Malaysia, Majlis Islam Sarawak,
Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS),
Institut Kefahaman Islam dan Dakwah Sarawak (IKMAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Turut hadir, ⁠Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee dan ⁠Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.

⁠Pengerusi Majlis Bukhari Malaysia yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Dr Bashir Mohamed Al Azhari turut hadir.