KUCHING: Jualan buku terbesar di dunia, Big Bad Wolf Books, secara rasmi membuka tirainya di Aras 3, pusat beli-belah Boulevard
di sini, hari ini.
Menurut kenyataan media, jualan kali ini turut membawa jutaan judul buku berbahasa Inggeris dengan potongan harga sehingga 95 peratus.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datu Hii Chang Kee, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dalam ucapan, Datu Hii menekankan inisiatif penganjur selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak.
“Sarawak sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda bagi menghadapi ekonomi global.
“Acara ini sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan tanpa skrin digital serta memupuk tabiat pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Jualan buku Big Bad Wolf akan berlangsung bermula 25 Ogos hingga 6 September ini dan kemasukan adalah percuma.
Sementara itu, diskaun tambahan lima peratus (%) untuk pelajar dan pendidik, penjimatan pembelian pukal untuk sekolah/perpustakaan akan diberi serta diskaun Merdeka 6.9% pada 31 Ogos nanti.
Turut diadakan peraduan Belanja dan Menang dengan pembelian RM90 dalam satu resit melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan sehingga RM20,000, termasuk hadiah utama jongkong emas 10 gram.
