SIBU: Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak membantu meringankan beban persiapan persekolahan 500 pelajar daripada keluarga B40 di DUN Nangka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, program itu bukan kali pertama dianjurkan, malah PEKEMA sebelum ini turut melaksanakan pelbagai inisiatif membantu pelajar.
Katanya, DUN Nangka dan kementerian menghargai komitmen PEKEMA membantu pelajar, khususnya golongan sasar.
“Program seperti ini amat berguna kerana sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban keluarga sekali gus mengutamakan kebajikan pelajar,” katanya ketika ditemui Program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya, di sini hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu, daripada 13 sekolah di kawasan DUN Nangka, empat sekolah menerima sumbangan mempunyai jumlah pelajar paling ramai, manakala baki sembilan sekolah mempunyai jumlah pelajar lebih kecil.
Katanya, pihaknya mencadangkan agar jumlah penerima ditambah.
PEKEMA katanya bersedia mempertimbangkan perkara berkenaan.
Dr Annuar berkata, bantuan tersebut menjadi menyuntik semangat untuk pelajar mencapai keputusan akademik terbaik.
Katanya, pelajar di Sarawak mempunyai banyak peluang mendapatkan pendidikan berkualiti, termasuk menerusi Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) dan mereka perlu merebut peluang sedia ada.
“Saya telah memberitahu kepada semua guru besar di DUN Nangka supaya sekurang-kurangnya lima pelajar daripada setiap sekolah mendapat peluang untuk memasuki YSISS,” katanya.
Hadir sama, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi.
