267 projek berimpak tinggi, kukuhkan pembangunan inklusif

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diamanahkan melaksanakan 267 projek pembangunan dibiayai kerajaan negeri bernilai RM31.30 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan merangkumi 172 projek jalan raya, 37 projek jambatan, 40 projek bangunan, 14 projek struktur sungai dan empat projek lapangan terbang.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 74 projek bernilai RM4.8 bilion sudah siap, 124 projek (RM20.3 bilion) sedang dalam pembinaan, 24 projek (RM4.1 bilion) berada pada peringkat tender dan 45 projek (RM2.1 bilion) masih di peringkat prakontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Douglas Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, peralihan daripada RMK-12 kepada RMK-13 pada 2026 akan memberi tumpuan kepada kesinambungan projek berimpak tinggi.

Ini katanya, bagi memastikan asas pembangunan yang dibina dapat diteruskan dalam fasa pembangunan negara seterusnya.

Mengenai pembinaan jambatan mega di Sarawak, beliau berkata, projek berkenaan menjadi pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan jaringan perhubungan, pembangunan inklusif dan transformasi ekonomi negeri.

Menurutnya, JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana projek setakat ini sudah menyiapkan 10 jambatan mega di seluruh negeri.

Beliau berkata, bagi Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP), status 122 jambatan terutama di sepanjang bekas jalan balak menunjukkan empat jambatan siap, 52 sedang dibina, 11 di peringkat tender dan 55 di peringkat prakontrak.

Beliau berkata, JKR Sarawak kini mengurus pelaksanaan 597 projek bernilai RM4.62 bilion di bawah enam agensi pembangunan wilayah.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan 91 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), 33 projek (Agensi Pembangunan Sri Aman -SADA) 248 projek (Agensi Pembangunan Bahagian Betong -(BDDA), 35 (Agensi Pembangunan Delta Rajang-(RADDA), 168 (Agensi Pembangunan Greater Kuching) -(GKCDA) dan 22 (Agensi Pembangunan Wilayah Mid-Rajang- (MiRRDA).

“Daripada jumlah itu, 156 projek telah siap, 130 sedang dilaksanakan, 38 di peringkat tender dan 273 lagi berada di peringkat pra-kontrak,” katanya.

Uggah menegaskan, kerajaan GPS kekal komited meneruskan agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi pengukuhan jaringan infrastruktur jalan raya, jambatan dan kemudahan awam di seluruh negeri.

“Usaha itu bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah bagi memastikan setiap komuniti di bandar atau luar bandar menikmati kemajuan, kemakmuran dan masa depan Sarawak secara saksama,” ujarnya.