Jambatan Batang Lupar Satu lambang komitmen Sarawak bangunkan kawasan pesisir

SEBUYAU: Pembukaan Jambatan Batang Lupar Satu menjadi detik bersejarah dalam agenda pembangunan infrastruktur di negeri ini apabila ia diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Malaysia yang merentasi sungai.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan sepanjang 4.844 kilometer (km) yang bernilai RM848.7 juta membuktikan kemampuan Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan berskala besar menggunakan dana sendiri.

“Ini adalah acara yang sangat bersejarah. Batang Lupar Satu merupakan jambatan paling panjang di Malaysia dan dibina menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri.

“Kita amat bangga dengan pencapaian ini dan berterima kasih kepada JKR Sarawak kerana berjaya menyiapkan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar Satu Sebuyau petang ini.

Menurut beliau, pembukaan jambatan tersebut sekali gus menamatkan penggunaan feri di laluan pesisir utama dari Kuching ke Miri.

“Apabila jambatan ini digunakan mulai hari ini, perjalanan dari Kuching hingga ke Miri tidak lagi memerlukan feri.

“Dahulu pengguna perlu menunggu antara 30 hingga 45 minit, kini hanya sekitar lima minit untuk menyeberang,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pembinaan jambatan berkenaan menjadi bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan yang pernah dianggap mustahil.

Menurut beliau, projek Batang Lupar merupakan antara tiga projek jambatan di laluan Jalan Pesisir yang pernah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu sebelum Kerajaan Sarawak mengambil keputusan meneruskannya menggunakan pendekatan pembiayaan sendiri.

“Hari ini kita dapat menyaksikan realiti terbinanya jambatan paling strategik dan paling panjang menyeberangi sungai di Malaysia.

“Walaupun pada awalnya banyak persoalan sama ada projek ini dapat dilaksanakan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak mengambil pendekatan berani untuk meneruskannya dan hari ini terbukti ia menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek Jambatan Batang Lupar Satu dilaksanakan di bawah Package D2B: Proposed Construction and Completion of Batang Lupar 1 Bridge, Samarahan/Betong Division.

Jambatan bertaraf JKR R5 itu dibina sebagai jalan dua lorong dengan bentangan utama kabel sepanjang 598.8 meter serta ruang navigasi selebar 250 meter dan berketinggian 26 meter.

Projek tersebut menghubungkan Sebuyau dan Triso sekali gus menyediakan sistem pengangkutan yang lebih selamat, pantas dan lancar kepada penduduk di kawasan pesisir.

Menurut JKR Sarawak, pembinaan jambatan itu dijangka mempercepat masa perjalanan, meningkatkan kecekapan logistik dan pengangkutan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi, pertanian dan pelancongan di kawasan sekitar Sebuyau dan Triso.