KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan rukun Islam kelima pada 23 Mei ini.
Bagi memohon keberkatan, Majlis Doa Selamat Sempena Keberangkatan beliau berdua serta rombongan berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Setiausaha Sulit Kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie dalam ucapannya menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak sokongan serta bimbingan dan panduan yang diperlukan dalam memastikan segala perkenan dan perintah dalam urusan keberangkatan Tun Pehin Sri dan Toh Puan dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan sempurna.
“Sama-samalah kita bermohon agar beliau berdua serta delegasi dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kekuatan fizikal, ketenangan jiwa, dipermudahkan segala urusan ibadah, dilindungi dari segala kesulitan dan bahaya, dikurniakanlah keselamatan pergi dan kembali ke tanah air dengan penuh kesejahteraan dan mendapat haji mabrur,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, doa selamat dibacakan Timbalan Imam Besar Sarawak Mohammad Ihsan Haidzir serta laungan azan.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak serta dif kenamaan lain.
Dalam satu kenyataan oleh Astana Sarawak, Tun Pehin Sri dan isteri juga memohon maaf sekiranya sepanjang menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negeri serta rakyat, terdapat sebarang kekhilafan, kekurangan, kelemahan atau keterlanjuran kata yang mungkin telah menyinggung perasaan mana-mana pihak, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan ibadah haji, Tun Pehin Sri memaklumkan, penggunaan telefon akan dihadkan dan beliau tidak dapat membalas panggilan, WhatsApp serta mesej peribadi kecuali bagi perkara penting dan kecemasan.
