KUCHING: Sarawak bakal menganjurkan Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Julai depan di sini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, BIHAS 2026 akan menghimpunkan penceramah, pembuat dasar, peneraju industri dan pakar halal dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Türkiye, Arab Saudi, Brazil, Jepun dan Sri Lanka.
“BIHAS 2026 akan menjadi platform strategik bagi ekosistem halal merangkumi sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, kewangan Islam, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), teknologi serta penyelesaian ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media BIHAS 2026 di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Pengerusi Penganjur BIHAS 2026 memberitahu, BIHAS 2026 bertujuan memperkukuh rangkaian perdagangan dan pelaburan halal, memperluas akses pasaran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan halal, serta mempromosi inovasi dan penyelesaian halal berteraskan ESG.
Tambahnya, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan bakat dan kapasiti selain memupuk kerjasama serantau serta antarabangsa dalam industri halal.
Beliau berkata, antara pengisian utama program termasuk persidangan, sesi padanan perniagaan, platform pembentangan usahawan muda, festival dan demonstrasi makanan halal, pameran teknologi halal serta ESG selain jualan produk halal kepada pengguna.
Awang Tengah menjelaskan, acara tersebut menyasarkan penyertaan 20 pembeli dan pelabur antarabangsa, 50 sesi padanan perdagangan, 100 pempamer dan 400 delegasi persidangan.
Pameran antarabangsa tersebut akan diadakan di Kuching Waterfront Square, manakala persidangan pula di Hotel Waterfront Kuching.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Penasihat (PKS) MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew.
