TYT Sarawak, isteri hadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

BETONG: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Masjid Jamek Bahagian Betong di sini, malam tadi.

Ketibaan Tun Pehin Sri dan isteri jam 6.35 petang disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) selaku Menteri Pengiring, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti II, Datuk Mohamad Razi Sitam, ADUN N29 Beting Maro, Dato Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Lingga; Dayang Noorazah Awang Sohor turut hadir.

Sejurus tiba, Tun Pehin Sri menandatangani buku lawatan sebelum majlis dimulakan dengan Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah, diikuti dengan Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Ustaz Mohamad Ihsan Haidzir.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Betong sebelum solat Fardhu Isyak berjemaah.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan kemudian menghadiri Jamuan Makan Malam yang turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen P.204 Betong, Dato Dr. Richard Rapu serta ADUN Krian, Friday Belik.

Majlis Kesyukuran ini merupakan acara kemuncak sambutan. – Teks Astana Sarawak