KUCHING: Rondaan oleh pihak berkuasa dipertingkatkan khususnya di kawasan yang menjadi sasaran budaya laku musnah dan kecurian kabel di bandar raya ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak( Sarawak Energy Berhad dan Petros) Datuk Ibrahim Baki berkata, kes kecurian kabel itu membimbangkan dan berlaku di beberapa lokasi dikenal pasti antaranya Kampung Bintangor dan sekitar Jambatan Datuk Amar Juma’ani di sini.
Menurutnya, ini kerana permintaan terhadap kabel curi menjadi antara faktor utama mendorong kegiatan itu terus berlaku.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko termasuk Satok.
“Kecurian itu bukan sahaja merugikan kepada pihak berkuasa malah mengancam keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pencahayaan Lampu Jalan Pintar Kampung Nombor Satok di Kompleks Sukan Satok @Padang SLPAS di sini, malam tadi.
Ibrahim Baki turut memuji, usaha Sarawak Energy Berhad (SEB) menggunakan teknologi pintar termasuk dron dan sistem pengesanan bagi membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik serta mengenal pasti premis aktiviti perlombongan bitcoin.
Katanya, langkah itu bagi mengenal pasti individu yang menyalahgunakan kemudahan awam.
