Pendidikan medium utama bentuk generasi berilmu – Ahmad Johnie

BINTANGOR: Pendidikan merupakan asas penting untum membentuk generasi yang berilmu, berdaya saing serta berakhlak mulia.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, usaha memperkukuh pendidikan perlu diteruskan agar anak-anak mendapat peluang terbaik untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan

Beliau berkata demikian semalam merasmikan Sambutan Hari Gawai Ngiling Bidai Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Papit Tahun 2026 di sini, semalam.

Beliau sehubungan itu berharap warga SK Bukit Papit akan terus mengekalkan budaya kecemerlangan bagi memastikan sekolah berkenaan melahirkan pelajar berjaya dan menjadi kebanggaan masyarakat.

Ahmad Johnie turut menekankan kepentingan semangat Segulai Sejalai serta sikap saling menghormati dalam kalangan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.

Menurutnya, nilai kebersamaan dan toleransi yang diamalkan dalam masyarakat majmuk Sarawak perlu terus dipupuk bagi menjamin kestabilan serta kemajuan negeri.

Sambutan tersebut diadakan bagi meraikan penutupan musim perayaan Gawai Dayak selain mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.