SARIKEI: Ahli dan jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan parti kekal kukuh dan mampu meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada gabungan jentera mantap, kepimpinan berkesan dan calon berkualiti.
Beliau berkata, jentera wanita parti merupakan nadi kepada parti kerana memainkan peranan penting bukan sahaja ketika musim kempen pilihan raya negeri (PRN), malah sebelum dan selepas pilihan raya.
“Jentera pergerakan memainkan peranan penting dalam menggerakkan parti serta memastikan hubungan antara parti dan rakyat terus kukuh.
“Kejayaan parti bergantung kepada gabungan jentera yang kukuh, kepimpinan berkesan dan calon yang berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Simpulan Kasih Wanita PBB Zon 7 di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, di sini, semalam.
Menurut Fatimah, gabungan ketiga-tiga elemen itu penting bagi memastikan Parti PBB terus menjadi sebuah parti yang kukuh dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta mampu mencapai kejayaan pada pilihan raya akan datang.
Penganjuran majlis makan malam ini telah dianjurkan untuk menjadi platform bagi memperkukuh silaturrahim, menghargai komitmen ahli-ahli Wanita PBB Zon Tujuh serta mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan akar umbi dalam meneruskan perjuangan parti.
Majlis dimulakan dengan taklimat ringkas berkaitan MA63 dan tuntutan kerajaan GPS ke atas kerajaan Persekutuan. Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk penyampaian cenderahati, jamuan makan malam dan persembahan nyanyian.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, Menteri Muda di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding serta ahli-ahli Majlis Tertinggi Wanita Parti PBB dan ketua-ketua Wanita cawangan.
