KUCHING: Sarawak dijangka memainkan peranan strategik sebagai hab tenaga serantau menerusi pembangunan Borneo Grid yang bakal menghubungkan Sabah, Brunei dan Kalimantan sebelum disepadukan ke dalam rangkaian Grid Tenaga ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Grid Tenaga ASEAN di bawah Pusat Tenaga ASEAN (ACE) di Jakarta bertujuan menyelaras dan mengharmonikan standard bekalan tenaga rentas sempadan.
Menurutnya, beberapa sambungan grid rentas sempadan telah pun beroperasi termasuk rangkaian yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura.
Manakala di Borneo katanya, Sarawak kini telah dihubungkan dengan Kalimantan Barat dan Sabah kemudian akan disambungkan ke Brunei.
“Gabungan ini akan membentuk Grid Borneo yang melibatkan Sarawak, Kalimantan, Sabah dan Brunei sebelum diperluaskan ke wilayah lain di Indonesia serta Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Grid ASEAN selepas merasmikan bangunan baharu Surau Nurul Muslimin di Kampung Sungai Bedil Besar, di sini hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, dari Kuching sambungan akan dilakukan ke Semenanjung Malaysia melalui Johor, dengan sebahagiannya disalurkan ke Singapura.
Katanya, dari Singapura pula, ia berpotensi disambungkan ke Batam, bergantung kepada hasil kajian.
Di bahagian utara, katanya, Thailand mempunyai sambungan, dan terdapat perancangan untuk membina kabel dasar laut dari Kota Bharu, Kelantan ke Vietnam dan dari Vietnam, rangkaian akan disambungkan ke Kemboja dan Laos, sekali gus melengkapkan rangkaian Grid ASEAN.
“Antara cabaran utama pelaksanaan projek itu ialah terdapat negara-negara yang masih belum bersedia dari segi keupayaan untuk menaik taraf sistem grid masing-masing,” ujarnya.
Fadillah memberitahu, di Semenanjung Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi komitmen untuk melabur sekitar RM42 bilion sehingga tahun 2028 bagi menaik taraf sistem grid, termasuk pembangunan sistem grid berkapasiti 500kV.
“Sarawak juga akan melaksanakan peningkatan grid secara berperingkat bagi menyokong pembangunan ini,” ujarnya.
Mengenai projek kabel dasar laut Sarawak-Johor, Fadillah berkata, projek itu masih menunggu kelulusan Indonesia untuk menjalankan kajian laluan dasar laut memandangkan kira-kira 60 hingga 70 peratus laluan kabel yang dicadangkan berada dalam perairan negara itu sebelum kajian terperinci dapat dilaksanakan.
