Pihak berkuasa penerbangan perlu beri layanan adil pada AirBorneo

KUCHING: Sarawak mahu semua syarikat penerbangan beroperasi di negara ini termasuk AirBorneo perlu diberi layanan adil dan seimbang oleh pihak berkuasa penerbangan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana syarikat yang sedang berkembang seperti AirBorneo dapat terus membina keupayaan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penumpang.

Katanya, layanan itu juga penting dalam memperluaskan rangkaian penerbangan ke destinasi antarabangsa seperti Bangkok, Hong Kong, Jakarta dan bandar utama lain.

“Proses ini memerlukan pelbagai kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan serta pengendali lapangan terbang antarabangsa,” katanya pada sidang media berhubung Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan di pejabat beliau di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, AirBorneo yang baharu memulakan operasi tahun ini masih berada pada fasa awal pembangunan dan sedang membina keupayaan operasinya.

“Kita berharap AirBorneo akan terus berkembang dan suatu hari nanti mampu berdiri setanding dengan syarikat penerbangan besar lain di rantau ini,” tambahnya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memahami bahawa AirBorneo baharu memulakan operasi tahun ini dengan armada yang masih kecil dan sedang melalui proses pembangunan secara berperingkat.