KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri AbangJohari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Jantung Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kunjungan tersebut yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian bertujuan menyampaikan surat pelantikan rasmi beliau sebagai Penaung Yayasan Jantung Sarawak yang berkuat kuasa sejak 15 April lalu.
Pada tarikh sama, Dr Sim turut dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak.
Selain itu, kunjungan juga bertujuan memperkenalkan barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak kepada Premier Sarawak selaku Penaung baharu yayasan.
Dalam pertemuan itu, wakil yayasan menyerahkan surat pelantikan rasmi sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dalam menyokong usaha memperkasakan kesihatan rakyat di negeri ini.
Selain itu, sesi perbincangan turut menyentuh mengenai peranan dan hala tuju Yayasan Jantung Sarawak dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan jantung, pencegahan penyakit kardiovaskular serta pelaksanaan program pendidikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama antara Yayasan Jantung Sarawak dan Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan inisiatif kesihatan awam serta memperkasakan agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai program dan aktiviti yang dirancang pada masa hadapan.
Yayasan Jantung Sarawak turut merakamkan penghargaan atas kesediaan Premier Sarawak menerima pelantikan sebagai Penaung, yang diyakini akan memperkukuhkan lagi peranan dan kredibiliti yayasan dalam menerajui usaha mempromosikan kesihatan jantung serta gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di seluruh Sarawak.
Hadir sama untuk kunjungan tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Pemegang Amanah Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Pemegang Amanah Datuk Amar Jamilah Anu.
