MIRI: Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak di Stadium Tertutup Miri hari ini menjadi medan peringatan penting kepada umat Islam di negeri ini agar terus memperkukuh nilai perpaduan, menjauhi perpecahan serta mempertingkatkan kekuatan ilmu dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, kekuatan ummah tidak hanya terletak pada kesatuan, tetapi turut bergantung kepada pegangan kukuh terhadap al-Quran dan ajaran Islam sebagai panduan membina masyarakat yang maju dan sejahtera.
Beliau berkata, budaya saling menyalahkan dan perbalahan politik yang tidak sihat perlu dihentikan kerana ia tidak membawa sebarang manfaat, sebaliknya hanya melemahkan kekuatan masyarakat.
“Jangan tidak, kita terjebak dalam politik yang tidak membina dan saling mencaci antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam masa sama, Abang Johari menggesa umat Islam agar menghayati semangat hijrah dengan memperkukuh perpaduan serta mendoakan kesejahteraan dan kejayaan untuk seluruh masyarakat.
Abang Johari turut mengingatkan bahawa umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran baharu bagi menghadapi perubahan pesat ekonomi global yang kini dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), industri semikonduktor serta peralihan kepada tenaga bersih.
