Diesel bersubsidi guna pendekatan berbeza di Sarawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan menggunakan pendekatan berbeza menentukan kuota minyak diesel bersubsidi kepada pengusaha bot di Sarawak bagi mengelak ketirisan.

Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, agensi seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) akan mengenal pasti operator yang layak dan mengemukakan senarai kepada kerajaan.

Setelah diluluskan akaun inidividu tersebut akan diaktifkan bagi membolehkan mereka menerima kuota diesel bersubsidi, katanya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Media Pelaksanaan Budi Diesel yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini, melalui mekanisme seperti BUDI MADANI, syarat utama termasuk memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah. namun, Kerajaan Persekutuan sedar terdapat pengusaha bot sungai yang tidak mempunyai lesen memandu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya kuota yang diberikan tidak mencukupi, mereka boleh mengemukakan bukti penggunaan sebenar untuk dipertimbangkan bagi penambahan kuota.

Pendekatan ini juga digunakan dalam sektor lain seperti e-hailing, di mana kuota ditentukan berdasarkan penggunaan sebenar bagi mengelakkan ketirisan, tegas beliau sambil menambah, bagi pengusaha bot sungai di Sarawak, kerajaan negeri memainkan peranan penting untuk memastikan hanya operator berdaftar diberikan kuota diesel bersubsidi.

Bagi isu pemilikan kenderaan yang tidak sepadan dengan penggunaan sebenar, beliau berkata, kerajaan sedang meneliti mekanisme yang lebih fleksibel. namun buat masa ini, prinsip satu kenderaan satu kuota masih dikekalkan bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi.

Bagi komuniti luar bandar yang menggunakan generator (genset) dan tidak mempunyai lesen, katanya, kerajaan turut menyediakan mekanisme khas dan bagi sektor seperti agrokomoditi dan penduduk di pedalaman, pihak berkuasa tempatan seperti pejabat Residen akan mengenal pasti individu yang layak, contohnya di rumah panjang.

Individu yang dikenal pasti akan didaftarkan dan akaun mereka diaktifkan, membolehkan mereka membeli diesel bersubsidi di lokasi yang ditetapkan, tegas beliau dan menambah, pendekatan ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa membuka ruang kepada ketirisan.