KUCHING: Cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka hanya dapat dibentangkan di Parlimen tahun depan susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih perlu menyelesaikan beberapa proses dan prosedur yang ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada SPR, proses persempadanan semula itu tidak sempat diselesaikan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini.
“SPR masih perlu melalui beberapa proses dan prosedur. Paling awal mereka hanya boleh membuat pameran kepada orang awam sebelum memberi ruang kepada umum mengemukakan bantahan atau maklum balas.
“Proses itu mengambil masa, kemungkinan besar ia hanya dapat dibawa ke Parlimen pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang SPM (RISE – Recognition of Inspiring Student’s Excellence) di Dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuching Utara, hari ini.
Parlimen Petra Jaya memperuntukkan sejumlah RM75,000 melibatkan sumbangan RM500 seorang kepada 150 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Petra Jaya.
Sumbangan berkenaan untuk insentif pelajar cemerlang SPM (RISE – Recognition of Inspiring Student’s Excellence).
Mengulas mengenai cadangan penambahan 17 kerusi DUN Sarawak, beliau menjelaskan, perkara itu bergantung kepada SPR kerana ia berada di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.
“Itu dalam bidang kuasa SPR. Saya tidak tahu jadual mereka kerana mereka mempunyai proses dan prosedur sendiri,” jelasnya.
Mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Fadillah berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak masih diteruskan dengan tumpuan kepada penetapan formula pembayaran yang lebih jelas.
Beliau berkata, Sabah menerima geran khas berdasarkan peruntukan berasingan di bawah Perlembagaan, manakala Sarawak ketika ini menerima bayaran interim sebanyak RM600 juta di bawah Perkara 112D.
“Apa yang dicadangkan oleh Sarawak ialah satu formula yang jelas sebagai asas penyelarasan pembayaran geran khas pada masa akan datang. Perkara itu masih dalam peringkat rundingan dan menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
