Empangan Bakun perkukuhkan autonomi Sarawak, percepat pelaksanaan hak MA63

KUCHING: Pengambilalihan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik Bakun (HEB) memperkukuhkan autonomi Sarawak dalam mengurus aset strategik negeri, sekali gus membuktikan kemajuan berterusan pelaksanaan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemilikan penuh empangan hidroelektrik terbesar negara itu memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan sendiri dasar pengurusan, pengagihan dan tarif tenaga sejajar dengan keperluan pembangunan negeri.

“Hari ini Empangan Bakun adalah milik Sarawak. Dengan pengambilalihan ini, kita mempunyai kebebasan untuk menentukan sendiri dasar tenaga dan mengurus aset strategik demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) di Kompleks UNIFOR, malam tadi.

Menurut beliau, penguasaan terhadap Empangan Bakun membolehkan Sarawak merancang pembangunan sektor tenaga secara lebih strategik, termasuk memperkukuh bekalan tenaga hijau, menarik pelaburan berintensifkan tenaga dan meningkatkan daya saing ekonomi negeri.

Premier Sarawak berkata, kejayaan memperoleh semula aset strategik itu turut membuktikan bahawa rundingan berterusan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mampu menghasilkan penyelesaian yang mengiktiraf kepentingan serta hak negeri.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh autonomi Sarawak perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan penuh hak-hak yang diperuntukkan di bawah MA63.

“Sabah dan Sarawak ialah rakan pengasas Persekutuan Malaysia. Sebab itu kita perlu mempunyai pendekatan bersama bagi memastikan segala hak yang termaktub di bawah MA63 terus dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Sabah dan Sarawak perlu terus diperkukuhkan bukan sahaja di peringkat kerajaan, malah melalui jaringan komuniti perniagaan seperti DCCI dan KCCI bagi memperjuangkan kepentingan bersama dalam pembangunan ekonomi, tenaga, perdagangan karbon serta pengurusan sumber strategik.

Katanya, pendekatan tersebut akan memperkukuh kedudukan kedua-dua wilayah sebagai rakan strategik dalam Persekutuan Malaysia, di samping memastikan manfaat daripada sumber asli dan pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih adil.

Beliau berkata, kejayaan Sarawak memperoleh semula pengurusan Empangan Bakun membuktikan bahawa hak negeri yang diperjuangkan menerusi MA63 mampu diterjemahkan kepada pencapaian nyata yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru Sabah dan Sarawak supaya terus memperkukuh kerjasama sebagai ‘sister states’ dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63 agar kedua-dua wilayah terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan Malaysia pada masa hadapan.