KUCHING: Cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka tidak dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Ia susulan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 masih belum mendapat pengesahan Dewan Rakyat.
“Parlimen sudah bersidang tiga kali sejak RUU itu diluluskan DUN Sarawak, namun ia masih belum dibentangkan untuk pengesahan.
“Kelewatan itu menyebabkan cadangan persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak dapat dilaksanakan pada PRN akan datang,” katanya pada sidang media Makan Malam Amal Lagenda di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, semalam.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu, Ahli Parlimen seharusnya menghormati keputusan DUN Sarawak dengan memberikan sokongan terhadap RUU berkenaan.
Katanya, mereka hanya perlu memberi sokongan pengesahan dan menghormati keputusan persidangan DUN Sarawak.
“Ini adalah hak kerajaan negeri dan hampir semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebulat suara bersetuju dengan RUU berkenaan,” katanya.
Abdul Karim menambahkata, isu penambahan kerusi DUN Sarawak tidak seharusnya dipolitikkan kerana tidak mempunyai kaitan dengan jumlah kerusi DUN di negeri lain atau kerusi Parlimen.
Beliau berkata, proses persempadanan kawasan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas RUU itu mendapat kelulusan mengikut peruntukan Perlembagaan.
